Melur Untuk Firdaus (VIDEO EPISOD 2 DAN NOVEL MY 'RUDE' WIFE BAB 2) DRAMA 2022

NOVEL MY 'RUDE' WIFE BAB 2

(Melur Untuk Firdaus)

HIGHLIGHT: Episod 2 - Bonda, Agak-Agak Firdaus Boleh Terima Melur Ke? | Melur Untuk Firdaus (2022)

“Abang rasa tindakan kita ni betul ke?” soal Hajah Rohana diiringi sedikit nada gusar di dalamnya. Mata Haji Nasarudin yang sedang tertancap pada sebuah buku agama di tangannya,beralih arah memandang wajah isterinya yang juga kelihatan gusar.

“InsyaAllah,abang dapat rasa anak TK tu jauh lebih baik dari pilihan anak kita.” jawab Haji Nasarudin lembut sambil memandang wajah ayu isterinya. Wajah yang telah menjadi halwa matanya sejak 36 tahun yang lalu.

“Tapi kita sendiripun tak pernah tengok lagi anak dia.” balas Hajah Rohana sedikit membantah. Haji Nasarudin menutup bukunya. Dia meletakkan tangannya di atas tangan Hajah Rohana. Pandangan matanya dilepaskan terus ke mata isterinya.

“Jadi Ana ragu?” soalnya semula. Perlahan Hajah Rohana menggeleng-geleng kecil. Jauh di sudut hatinya,dia merasa bersalah kerana telah mengutarakan persoalan itu kepada Firdaus. Seolah-olah dia telah memaksa anaknya menerima gadis lain dalam hidupnya sedangkan anaknya sudah ada pilihan sendiri. Melihat sedikit keraguan di wajah isterinya,Haji Nasarudin mengemaskan pegangan tangan mereka.

“TK tak akan pertaruhkan anak dia untuk anak kita kalau anak dia tu tak elok. Ana kenalkan TK tu macam mana orangnya?” kata Haji Nasarudin seakan memujuk hati isterinya juga dalam usaha mengusir kegusaran hati seorang ibu terhadap nasib anaknya.

“Bagi peluang kepada anak dia untuk membuktikan kemampuannya menjadi isteri kepada anak kita. Mungkin dia adalah yang terbaik anugerah kurniaan Allah untuk kita sekeluarga. Siapa tahu kan?” kata Haji Nasarudin lagi bagai memujuk gundah hati isterinya itu.

“Tapi anak dia kan...”

“Tu biar Allah yang tentukan. Siapa kita nak tentukan takdir seseorang?” pintas Haji Nasarudin lembut bersama sedikit ketegasan. Hajah Rohana tunduk sedikit. Ketegasan pada nada suara itu membawa makna yang dia harus menerima kata putus dari suaminya.

“Ana rasa anak kita takkan setuju.” balas Hajah Rohana perlahan.

“Yang tu abang tahu. Tapi kita tengoklah apa yang ditentukan oleh takdir untuk dia nanti.” jawab Haji Nasarudin sebelum kembali menyambung bacaannya semula. Hajah Rohana tidak lagi bersuara, namun pandangan keresahan dilemparkan ke wajah suaminya. Gusar hatinya sukar diusir pergi.


Pulang dari makan malam di rumah keluarganya,Firdaus langsung memandu menuju ke rumah Dee. Dia tidak betah untuk menyendiri di saat hati dipagut keresahan. Dia harus menyejukkan hatinya sendiri dengan melihat wajah cinta hatinya. Wanita itu juga baru pulang. Masih lagi dengan pakaian pejabatnya. Seorang wanita moden yang menyandang jawatan sebagai Pengurus Projek di syarikat perhotelan. Wanita cantik yang umurnya hampir sebaya dengannya. Beza umur mereka hanyalah setahun dua.
Berbual seketika tentang kerja-kerja harian mereka, Firdaus menukar jalan ceritanya. Sekurang-kurangnya resah di hati dapat dileburkan buat seketika. Dia tatap wajah wanita yang masih utuh dengan solekan gaya modennya itu.

“Dee,you sayang I kan.?” soal Firdaus sedikit perlahan,namun masih kedengaran romantis. Namun reaksi Dee yang tiba-tiba melepas tawa itu,mengejutkan Firdaus.

“Soalan apa tu? Pelik je I dengar?” soal Dee kembali seakan mengejek. Firdaus tunduk. Hatinya sedikit tersinggung. Ini bukan sesuatu yang patut diketawakan. Tambah lagi pertanyaannya bukanlah sesuatu yang lucu. Menyedari ada riak kesal di wajah kekasihnya itu,Dee berhenti ketawa. Dia meletakkan tangannya di bahu Firdaus.

“Fir,kenapa ni?” soalnya lembut. Firdaus diam. Dee menarik dalam nafasnya. Dia tahu dia telah melukakan hati Firdaus.

“Okey I sayang you. Sayang you sangat-sangat. You kan boyfriend I? Mestilah I sayang. Kenapa you tanya?” soal Dee dengan nada lembut seperti memujuk. Firdaus yang tunduk kembali memandangnya. Hatinya sedikit terpujuk dengan kelembutan suara itu. Ditatapnya lagi wajah Dee. Wajah yang telah menjadi peneman di hatinya sejak tujuh tahun yang lalu.

“Kalau I tanya you jangan marah ya?” soal Firdaus semula. Dee angkat keningnya tanda bertanya semula. Firdaus mengambil sedikit masa sambil menatap wajah Dee.

“You marah tak kalau I kahwin dengan orang lain?” soalnya berhati-hati,takut soalannya membuatkan Dee marah. Namun sekali lagi Dee ketawa seperti tadi,malah lebih rancak. Firdaus membiarkan. Dia tidak tahu apa yang harus ditafsirkan melalui tawa itu.

“Siapa yang nak kahwin dengan you ni? Hah? Ada ke orang nak?” soal Dee semula bersama tawa kelucuannya. Hujung jarinya mencuit hidung Firdaus.

“Dee please. You ni...” balas Firdaus kesal dengan reaksi Dee. Dee menyurutkan tawanya.

“Look,tak ada siapa yang berani rampas boyfriend I tau? I berani jamin,you akan jadi hak I seorang saja.” jawab Dee penuh yakin.

“Kalau ada?” soal Firdaus menduga. Dee membulatkan matanya sambil bercekak pinggang.

“Hey,you ni boyfriend Diana tau? Kalau dia berani,dia cubalah. Tahulah I ajar dia nanti. Sakit dapat,malu pun dapat.” jawab Dee yakin. Firdaus tersenyum senget. Kalaulah Dee tahu perkara sebenarnya,Dee tidak akan bercakap besar seperti itu. Jauh sekali untuk ketawa seperti tadi.

“Tapi...you just tanya je kan? You tak maksudkan macam tu kan?” soal Dee dengan nada seperti menguji diiringi sedikit nada cuak. Firdaus terkejut dan berpura-pura ketawa.

“Kenapa? You cuak?” Dee melabuhkan dudukya di sisi Firdaus yang duduk di hadapan keretanya.

“Mahunya tak.” jawab Dee ringkas. Firdaus senyum.

“Hai,tadi cakap I ni boyfriend Diana,tak ada sesiapa yang berani rampas. Ni cuak pula?” soal Firdaus sedikit menyindir bersama tolakan kecil bahunya ke bahu Dee. Dee senyum.

“Mm...ada lah sikit-sikit.” jawab Dee bergurau. Mereka melepas tawa. Namun jauh di sudut hati Firdaus,masih ada gusar yang mengurungnya. Dia takut mimpi ngeri itu menjadi kenyataan. Bagaimana jika itu terjadi? Apa yang harus dia lakukan? Bagaimana dia bisa hidup tanpa Dee sebagai isteri? Dan bagaimana untuk dia pertahankan Dee di sisinya nanti sedangkan dia sendiri sudah menjadi milik wanita lain? Dia yakin dia tak mampu untuk hidup dengan wanita lain selain Dee. Bagaimana dia mampu melupakan seseorang yang telah menjadi penemannya selama 7 tahun ini? Bagaimana dia bisa memadam setiap kenangan yang telah mereka coretkan bersama? Bagaimana untuk dia mengusir rasa cinta yang tidak pernah sesaatpun pudar dari hatinya? Tidak. Dia tidak akan mampu. Namun,bagaimana pula untuk dia membantah perintah orang tuanya? Bagaimana untuk dia melukakan hati mereka? Bagaimana untuk dia mengecewakan harapan mereka? Tidak. Rasanya itu juga dia tidak mampu. Lalu harus bagaimana? Waktu. Ya,waktu. Masih ada masa untuk dia berusaha. Dia menatap Dee di sisinya dan mula membuka ruang bicara yang jauh dari persoalan yang sedang bermain di benaknya. Bual bicara yang bisa menghibur hati mereka berdua.

Pertemuan ini seakan mampu mengubat sedikit keresahannya tetapi ianya bukan jalan penamat,apa lagi sebagai jalan penyelesaian kepada masalah ini. Ia sekadar ubat pelali untuk dia lupakan seketika gelodak yang melanda jiwanya.
Teringat kembali perbualan di meja makan sebelumnya,Firdaus menjadi semakin takut dan takut. Takut untuk melihat takdirnya nanti.



----------------------------------------------------
#firdausmelur #myrudewife #tazharris #novel #episod2meluruntukfirdaus #bab2myrudewife #dramamalaysia #dramaromansa #novelmyrudewife #drama

Komentar